Tuesday, March 29, 2011

Siapa Nak Kerja?

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam en Boss minta masukkan iklan ni dekat mana-mana ruang mencari kerja. Tapi bila cek-cek semua kena bayar. Hurm.. Jadi hari ni saya masukkan la dalam blog ni mana tau ada yang tiba-tiba terbaca dan berminat dan ada rezeki dekat company yang saya tengah kerja ni kan...

Vacancies Announcement in Twin Systems Sdn Bhd

Salam...

Dear friends and partners,

We'd like to announce vacancies in our company, Twin Systems Sdn Bhd
for the following positions:

SYSTEM ANALYST
Qualification : Degree in Computer Science
Requirement : Skills in PHP and SQL (Advance or Intermediate level),
Knowledge in Object Oriented Programming and Experience in Web
Application Development.

ANALYST PROGRAMMER
Qualification : Diploma in Information Technology or related fields.
Requirement : Skills in PHP, SQL or any Web Programming.

Interested party may submit your resume via email to me at
sanorazman@gmail.com or En. Alishamuddin at alisham70@yahoo.com.
Should you have any query, please call us at 07-5582109 or sms at
012-7022109 / 016-7114001.
Appreciate if you could forward this to your relatives, friends or students.

Thank you.


--
RAZMAN
012 7022109
Twin Systems Sdn Bhd
www.twinsystems.com.my

Jadi, siapa-siapa yang berminat cepat-cepatlah hantar resume dekat en Boss ye. Sekian..

Thursday, March 24, 2011

Sebuah Pertemuan

Bismillahirrahmanirrahim…

Sudah beberapa hari aku mengulang dengar lagu ini. Sahabat yang duduk disebelahku dalam opis yang juga merupakan kawan sekolahku, kawan sematrik kemudian kawan seUTM dan kini kawan satu tempat kerja kadangkala turut sama mengalun kan lagu ini. Semakin lama ku dengar semakin aku tertarik. Lagu ini telah lama berada dalam laptop, mungkin sejak laptop ini mula-mula bersama denganku tetapi aku yang tidak perasan akan kehadirannya disini.

Hari ni aku ulang dengar untuk kesekian kalinya. Kali ini beserta lirik yang aku cari dengan bantuan en. Google. Tiba-tiba terasa sebak. Entah kenapa…



Sebuah Pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

Wednesday, March 23, 2011

Sistem Pendidikan + Result SPM

Bismillahirrahmnairrahim….

Sedang kepeningan kepala memikirkan masalah negara sambil membaca komen-komen luahan hati pelbagai emosi dalam facebook, terjumpa dengan satu komen yang menarik perhatianku.

I think anyone also the same. Just sometimes we used to accept the fate and don’t want to change the phenomenon or traditions. So become passive or speechless. This is what our education teach us..”

Aku quote komen ni dari seorang rakan sekelas ku yang berbangsa Cina. Entah mengapa aku tertarik dengan komen ini, mungkin benar apa yang diperkatakan olehnya. Sistem pendidikan kita yang telah mengajar kita menjadi pasif dan kehilangan kata-kata. Sama ada system pendidikan formal atau pun system pendidikan yang tidak formal yang diterapkan dalam diri kita menyebabkan kita menjadi seorang yang pasif.

Ustaz Hasrizal(kalau tak silap) dalam satu program beliau yang pernah aku hadiri pernah membawa tentang perkara ini. Beliau membawa peserta dalam program untuk kembali ke zaman ketika masih kecil. Di dalam masjid contohnya, bila ada budak kecil yang hyperaktif, dimarah dan disuruh mereka diam atau dihalau keluar daripada masjid. Lama-kelamaan mereka menjadi semakin pasif dan pendiam kerana bila sahaja mereka membuka mulut, mereka disuruh diam. Malahan menyebabkan mereka semakin jauh dari masjid. Begitu juga ada segelintir ibu bapa yang menyuruh anaknya diam bila mereka banyak bertanya. Hasil pendidikan inilah yang mebuatkan anak-anak membesar menjadi pasif dan tidak mampu berkata-kata.

Melihat system pendidikan secara formal pula, mahasiswa yang sedikit mencabar dan mungkin pemikiran mereka sedikit berbeza dengan segelintir pihak pentadbiran atau pengetua kolej, suara mereka disekat. Lebih kepada tidak ada kebebasan bersuara.Berlakulah kesinambungan system pendidikan yang tidak formal tadi dan system pendidikan formal ini yang menyekat seorang budak kecil untuk bersuara kemudiannya seorang mahasiswa daripada berkata-kata. Hasilnya, lahirlah kita yang pasif dan tidak mampu berkata-kata. Fikir-fikirkan…

Masih berkisar tentang system pendidikan di negara kita, hari ini result SPM keluar. Rata-rata pelajar lepasan SPM pasti sudah mengetahui keputusan mereka. Aku mempunyai seorang adik lelaki yang juga mengambil keputusan SPM nya pada hari ini. Sabar menunggu keputusannya sampai ke telingaku. Tiba-tiba lampu handphone ku berkelip-kelip. Laju sahaja tangan ini membuka mesej yang sampai.

“Abang dapat 5A…haha.. abang menang” begitulah bunyi mesej dari adik lelakiku.. Dengan bangganya dia menghantar mesej itu kepadaku. Resultnya sudah ku ketahui terlebih dahulu melalui kakakku dan ayah yang menelefon sebelum itu. Alhamdulillah..memang result dia lebih baik daripada 3 orang kakaknya yang terlebih dulu menduduki SPM..

“Lepas ni nak pergi mana?” Aku bertanya.

“Entahlah…ikut je lah yang ayah cakap tu” Dia membalas…

“Kata nak pergi Jordan?” Teringat yang dia pernah berhasrat untuk sambung pelajaran di sana..

“Abang tak ada STAM.....” Adikku membalas lagi. Hurm…Mungkin bukan rezekinya untuk kesana. Dulunya dia pernah masuk Maahad di Kelantan semasa tingkatan 1, tapi tidak sampai setahun dia kembali ke Labuan dan menyambung pelajaran di sekolah lamaku atas sebab masalah kesihatan. InsyaAllah, kalau ada rezekinya disana, pasti akan sampai juga.

Tahniah buat satu-satunya lelaki dalam keluargaku selain ayah. Semoga segala urusan selepas ini dipermudahkan…

Tahniah juga buat semua lepasan SPM yang mengambil keputusan SPM hari ini. Bersyukurlah atas apa-apa pun result yang diperolehi...

Tuesday, March 22, 2011

Mas Kahwin vs Hantaran

Bismillahirrahmnirrahim…

Sedang khusyuk membaca forum dan menghantar PM kepada seorang pakar dalam permasalahan system yang perlu disiapkan semasa latihan praktikal dalam keadaan internet yang sangat slow, tiba-tiba en Boss dan abang programmeropis yang tengah rancak bercerita mengenai gadget yang canggih manggih memanggil nama saya dan bertanya..

“Mas kahwin boleh dalam bentuk barang ke? Ke mesti bagi duit?” soalan luar alam di luar sangkaan saya.

“Kalau saya nak bagi ipad sebijik contohnya boleh ke?” Abang programmer opis menambah.

“Erk, mas kahwin ni mahar ke en. Boss?” Terkeluar pulak soalan tu dari mulut saya tanpa sempat berfikir.

Seperti biasa, kalau diterjah soalan tiba-tiba, saya memang tak sempat nak berfikir. Laju je mulut nak jawab..

“Boleh kan?” saya bertanya balik.

“Sebab ada je kan orang bagi mas kahwin Al-Quran” Owh jawapan yang sungguh tak ilmiah saya berikan.

“Yang tu hantaran lah. Hantaran ni yang selalu orang gubah-gubah pastu letak barang. Mas kahwin ni orang gubah-gubah jugak. Yang orang letak cek besar lepas tu hias-hias. Yang tu la mas kahwin” Abang programmer opis memberikan jawapan.


Main ambik je gambar ni kat internet

Macam ni ke rupenye mas kahwin yang mereka maksudkan???

Yang ni agak popular sekarang..

“Ea? Hurm… entahla. Saya pun tak pasti. Tak kahwin lagi. Tak de pengalaman pulak..” Saya membalas sambil menggaru-garu kepala yang tak gatal. Tapi dalam hati macam tak puas hati kalau tak dapat jawapan. Lalu En Google pun sedia menjalankan tugasnya dalam keadaan line internet yang sangat slow (orang lain tak dapat connect tapi saya dapat pula)…

Betul jangkaan saya… saya temui penjelasannya di SINI. Mas kahwin tak semestinya duit. Ni ada Hadis yang menguatkan hujah saya.

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ."
( Riwayat Bukhari )

Banyak lagi rujukan lain. Kat SINI pun ada. Boleh cari lagi.

Mas Kahwin (Mahar) mesti di beri oleh suami kepada isteri dengan harta sendiri. Hantaran boleh dikeluarkan oleh orang lain. Hantaran ni sebenarnya cuma adat. Kadang-kadang ada pihak lelaki yang terbeban malah ada yang berhutang kerana hantaran yang tinggi. Belum masuk dengan belanja kahwin yang lain yang sangat tinggi. Maka jadilah urusan kahwin yang mudah menjadi susah.

Kalaulah kita mengamalkan memberi mas kahwin yang rendah dan tidak perlu hantaran yang sampai ribuan ringgit, juga persediaan walimah boleh dibuat sendiri dengan bantuan jiran-jiran sekampung, pastinya urusan perkahwinan lebih mudah. Ramai sahaja yang boleh berkahwin ketika muda dan dapatlah mengelakkan daripada berlakunya gejala-gejala social yang tidak sihat dalam kalangan anak muda.

Teringat perkongsian seorang ustaz yang sangat saya hormati, beliau berkongsi kisah perkahwinan beliau dengan kami semasa beliau sedang belajar di luar negara. Beliau tidak mengenali langsung bakal isterinya, hanya berniat untuk berkahwin, memilih seorang wanita sebagai calon isteri melalui orang tengah yang dipercayai, dan pastinya pilihan itu sesudah istikharah. Dan urusan perkahwinannya sangat mudah. Beliau tidak mengeluarkan duit langsung untuk belanja perkahwinan kerana sahabat-sahabat yang mengeluarkan belanja. Dan bahagianya kekal sehingga ke hari ini. Sangat suka melihat beliau dan isterinya. Perkara yang patut kita contohi.

Sekian, sedikit cerita tentang mas kahwin (mahar), Hantaran dan Perkahwinan…

Nota:

1. Nak minta Mac Book sebijik time kahwin boleh tak agak-agak. DSLR pon boleh.. ke Ipad?
2. Sekarang ramai yang dikenali dah kahwin termasuklah kawan sekolah yang bakal menukar status pada Jun ini.


Thursday, March 17, 2011

Setahun Bersama Sehayat Terasa

Bismillahirrahmanirrahim…

Hampir membuat keputusan untuk menarik diri daripada program Family Day Alumni Irfaan Zon Selatan atas sebab kondisi badan yang kurang sihat namun, disaat-saat akhir aku mengambil keputusan untuk menyertainya juga kerana agak lama tidak bertemu(last semasa IRONI) dengan sahabat-sahabat seperjuangan di Irfaan dulu.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam menuju ke Melaka Bandaraya Bersejarah aka tanah kelahiranku berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Kredit buat driver yang didatangkan khas dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Ima yang berbesar hati untuk menemani kami ke Melaka. Turut serta Asmah dan Mun. Kesian Paw n Yayat yang terpaksa menarik diri di saat akhir kerana ada kekangan. Rasa excited yang teramat sangat walaupun baru beberapa bulan yang lalu bertemu mereka semasa program IRONI.

Setibanya di Melaka, orang pertama yang kami temui, sahabatku Azma dari UKM Bangi. Azma datang bersama Fiza(UKM), Fadhil (USIM), Munzier (Al-Azhar Mesir)

Tunggu punya tunggu, manalah budak-budak Melaka ni tak sampai-sampai. Aish…

Akhirnya Amirah menunjuk muka. Rupanya mereka kesibukan gara-gara hendak menyambut tetamu yang agak ramai ni. Sibuk menyediakan makanan, mengambil sahabat-sahabat UPM dan UKM KL yang datang menaiki bas.

Shahrul UTeM selaku pengacara

Fareeed UTeM mengetuai bacaan doa disamping menjadi cameraman


Fadhil USIM Pengerusi Surau Al-Irfaan 08/09 merangkap
Pengerusi Alumni Irfaan Semenanjung

Program dimulakan tidak lama selepas itu dengan sarapan pagi. Syahrul UTEM mempengerusikan majlis pada pagi itu, bacaan doa oleh Fareed UTeM, mendengar sedikit ucapan alu-aluan daripada Fadhil Pengerusi Alumni Irfaan semenanjung merangkap Pengerusi Surau Al-Irfaan sesi 08/09, diikuti dengan tazkirah ringkas dan padat oleh Munzier yang didatangkan khas dari Universiti Al-Azhar Mesir (Munzier pulang bercuti semasa revolusi Mesir). Kemudian sedikit ucapan daripada En Azli bekas pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan (kini bertugas di Kolej Matrikulasi Selangor) dan majlis sesi pagi diakhiri dengan sedikit pengisian tentang HPA oleh Ustaz Safwan, Lulusan Usulludin Universiti Al-Azhar Mesir(kini usahawan sepenuh masa HPA di samping menjadi penceramah bebas)


Munzier dari Al-Azhar Mesir menyampaikan sedikit tazkirah

En Azli bekas pensyarah KML kini bertugas di KMS

Ustaz Safwan menyampaikan berkenaan HPA diselangi pengisian menarik

Usai solot Fardhu Zuhur dan makan tengah hari yang sangat meneyelerakan, ada sedikit modul taaruf yang dikendalikan oleh Shahrul..Disebabkan kami rombongan UTM perlu pulang awal kerana ada program di kampus, maka program diteruskan dengan sedikit ucapan oleh wakil tuan rumah Razman Roslee, orang yang mantap dari UTEM yang juga merupakan pengerusi Surau Al-Irfaan sesi 07/08.

Dan akhir sekali bergambar beramai-ramai sebelum budak-budak UTM pulang ke kampus. Sempat disindir oleh Razman gara-gara terserempak dengan dia dan Fareed dekat MYDIN semasa Tahun Baru Cina yang lalu. Tak pa sebab berjaya juga “menyindir” Razman sebab dia datang lambat. UTEM kan jauh, UTM dekat jak tula sampai awal..hehe..

Slot Taaruf

Razman UTeM Pengerusi Surai Al-Irfaan 07/08 merangkap tuan rumah program Family Day

Monyet yang turut sama memerhati

Sempat singgah RFC MYDIN. Dah alang-alang sampai.. apa salahnya.. Terserempak pula dengan akh Zaki semasa nak keluar dari parking MYDIN. Dekat UTM tak pernah pula nak terserempak… Berkejar lah WHB merah dan DBT putih pulang ke UTM…

Antara Alumni Irfaan yang turut hadir

Pemuda harapan Agama..

Anak En Azli yang turut hadir

Aksi terbaik cameraman

Sekian, semoga bertemu lagi insyaAllah...

Nota:
1) Tidak puas rasanya bersama sahabat-sahabat sematrik
2) Ramai lagi muka-muka yang ingin ditemui tak dapat menghadirkan diri atas pelbagai kekangan
3) Lepas ni boleh buat program kat Johor pula
4) Ini Ukhuwah kami..
5) Tagline Al-Irfaan : Setahun Bersama Sehayat Terasa…

Tuesday, March 15, 2011

Hlovate Review

Bismillahirrahmanirrahim...

Terjumpa dalam folder..dah lama tulis tapi x ter’post’. Agak panjang..

Alhamdulillah..baru menamatkan marathon novel hlovate. Bermula dengan 5 tahun 5 bulan sehingga ke Rooftop Raft.. Satu persatu ku tilik. Dia berkongsi mengikut caranya. Bagiku berdakwah secara ringan dan dia tak kan boleh menulis macam ni kalau dia tak da ilmu dalam diri dia. Itu pendapat aku.

5 Tahun 5 Bulan


Tentang seorang Ana yang juga seorang Jo yang bermula menjadi orang gaji atas sebab aku pun tak dapat nak tangkap. Kena baca lagi sekali baru faham kot. Dan dia ada migrain macam aku. Tapi aku tak da la seteruk Johanna. Seorang yang perahsia yang hanya berkongsi kisah dia dengan best friend dia Iyan juga sama macam aku. Satu lagi yang menarik pasal masak. Johanna memang sangat pandai masak dan tak sama macam aku. Haha…

Dan aku suka cara penceritaan dalam cerita ni tentang family especially hubungan adik beradik mereka yang sangat rapat. Lagi satu kaitan tentang Laksamana 5 bersaudara. Pun sangat best. Personality disorder pun aku suka baca. Dan lagi satu macam mana Along tegur bakal-bakal doktor yang belajar luar negara, belajar term dalam English then bila balik Malaysia nak pergi merawat golongan emas. Haa?? Takkan nak sebut term-term pelik tu kat warga emas kan? Lepas tu nak translatekan pergi bahasa melayu keluar pula perkataan pelik-pelik. Haru jadinya.. Not bad la buku ni.


TUNAS


Beralih kepada TUNAS. Aku suka cerita ni sebab sebahagian daripada cerita ni aku pernah lalui. Cerita tentang Nur Addin Shah yang mendaftar masuk ke sekolah swasta TUNAS. Sekolah yang majoritinya golongan elit. Berkenalan dengan roommate jadi gang satu kepala. Buat macam-macam masalah dalam asrama tapi Addin tak langgar peraturan tanpa sebab. Aku boleh cakap dia seorang yang berprinsip. Lepas tu dia kena tangkap khalwat dengan dia punya kembar sebab orang dengki. Sampai la dia jadi Head girl dan abang dia jadi Head Boy. Macam mana mereka mencorakkan sekolah tu daripada sekolah yang secular menjadikan sekolah yang mempunyai suasana Islam. Biah Solehah.. daripada dua orang yang pakai tudung sampai beramai-ramai menutup aurat. Datang pula Mags 7 yang lagi bermacam-macam hal. Akhirnya Addin perasan kenapa nama dia Addin.

Ceritanya mengingatkan aku di sekolah dulu. Tinggal asrama. Budak sekolah dalam 400 ++ je. Boleh kenal sorang-sorang. Dan gang aku kena panggil F1 sebab jalan laju dan main redah ja apa-apa benda yang ada kat depan mata kalau tengah jalan. Pantang kalau tengah jalan ada je orang dok berlenggang tengah jalan yang melambatkan perjalanan kami. Tu dulu.. Kami bertujuh. Rindu dengan mereka..Tikah UPM, dah habis study tengah jadi cikgu sekarang. Maya UTM sekali aku baru lepas bertunang dan bakal menamatkan zaman bujangnya bulan 6 ni. Zaty USM, bakal dentist dan dia memang cemerlang dari dulu. Syu UIA, lama sangat tak jumpa pindah time form3. Kim UMS, pun lama tak jumpa ambik geology, Mizah UKM, Doktor erk? Rina Ums pun baru grad sekali Tikah.

Teringat pernah fly dulu pergi rumah Tikah buat choc cake sebab nak celebrate Syu yang nak pindah. Terserempak dengan cikgu Rohit dan Ustazah Maizan. Nasib baik tak kena tangkap. Pastu fly lagi sekali dengan kebenaran Ustaz sebab nak hantar Syu pergi Airport. Ayah Zaty hantar dan memang drift la dari SMSL sampai Airport balik semula ke SMSL. Sampai-sampai sekolah ada yang muntah. Haha.. Itu semua kenangan…

Aa + Bb


Sambungan kisah Addin. Actually ini bukan sambungan sebab novel ni keluar dulu sabelum Tunas. Addin dah besar. Study luar negara ambil medic. Kisah Benz Alif Sulaiman, musuh tradisi sejak sekolah. Aku suka part hujung sekali bila dia dah kahwin dengan Benz dan dia keguguran. Dan mereka ambil tu secara positif. Allah belum lagi nak bagi anak tu sebab dorang belum bersedia nak jadi parents. Mungkin bila anak tu besar dia akan derhaka dan tak jadi anak yang baik. Lalu Benz dan Addin mempersiapkan diri untuk jadi mak ayah yang baik sehinggalah mereka memperolehi Falah dengan persedian yang cukup.

Terkenang pulak zaman kat matrik. Dua tahun aku kat sana. Tahun pertama jumpa nanad, duduk sebelah bilik aku. Tahun kedua dapat adik beradik baru. Azma si Kak long study UKM, Maziah UMT ambik Software eng, Amani USM yang kisah hisupnya lebih kurang aku, Jama yang ayu tercampak kat Unimas sorang2, Daa UMT sekali Maziah dia ganas lagi dari aku.. kami selalu lepak rumah Macik dan En Mishad keluarga angkat yang aku dah anggap macam keluargaku sendiri. Macik yg berjiwa muda, bawa kami keluar malam-malam, lepak-lepak kat anjung siswazah, tengok bulan, tengok bintang tepi laut..Labuan kan dikelilingi laut...haha.. nasib baik tak kena tangkap felo. Tak lupa Umi dan Ayah Man yang juga ku anggap macam family sendiri. Ayah Man yang suka masak, selagi tak habis makan tak boleh balik dari rumah dia. Macam mana nak habis, bila dah tinggal sikit Ayah Man masak lagi. Rindu sangat dengan KML terutamanya Irfaan..tempat aku bermula.. Setahun bersama sehayat terasa…

VERSUS


Buku ni menarik, menyentuh jiwa aku… Bagaimana Minn seorang street kid, berubah 360 darjah atas sebab wasiat atuk dia. Gantung deck lepas atuk dia meninggal dunia. Macam mana dia bermujahadah nak tinggalkan hidup dia yang lama. Lepas tu keluar satu watak lagi AO yang juga street kid. AO jadi mentee kepada Minn. Mulanya dia tak suka sebab dapat seorang ‘ustazah’ jadi mentor dia. Then dia dapat tahu Minn adalah Ed’sasin yang pernah dikaguminya suatu masa dulu. Dan dia mula mengungkit kisah Minn semasa menjadi Ed’Sasin. Min mengamuk, AO rasa bersalah dan nak berubah juga. Pada mulanya berubah kerana seorang perempuan tapi kemudian dia sedar perubahan dia kerana perempuan tu salah. Dia sambung belajar di luar negara dan jumpa Hairi, disitu turning point dia. Tinggalkan dunia lama dia. Mendalami agama..

Buku ni menyentuh karya-karya Harun Yahya (buku-buku yang lain pun sama), 7 peringkat pembentukan Muslim dan banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis diselitkan. Bagaimana pahitnya mujahadah untuk mendapatkan sesuatu yang manis di hujungnya.. Membuatkan aku yang membaca bermuhasabah semula.. Mengingatkan aku tentang siri-siri tarbiyah yang aku lalui, membuka mataku bagaimana seorang Dai’e yang mudah diterima mad’unya..

Rooftop Rant



Cerita agak berat dari yang sebelum-sebelum ni. Tapi masih boleh dijadikan bacaan santai. Batrisya aka Trisy dan Jade bertemu atas atap. Masing-masing cuba melarikan diri daripada masalah kehidupan dengan duduk atas atap tu. Trisy di hantar balik kampung selepas kes cuba membunuh diri, bersama atuk, nenek dan paksunya Trisy menjadi orang baru. Mendapat kasih sayang yang selama ini dia cari, membentuk diri mnjadi yang lebih baik.

Jade, minatnya terhadap lukisan menyebabkan dirinya di banding-bandingkan dengan adik beradiknya. Dia meneruskan minatnya, bertemu jalan yang dibukakan sedikit oleh Trisy akhirnya bertemu orang-orang yang mengubah hidupnya dan caranya berfikir. Akhirnya berdakwah melalui lukisan, melalui komik-komik yang dihasilkan. Cerita ini banyak pengajaran…

Cerita tentang aku d Bumi UTM. Berjumpa dengan adik-beradik yang baru. Susah senang bersama, belajar bersama, makan bersama, membesar bersama…menjadi kan aku yang aku sekarang…Dan yang nyata aku gembira bersama mereka…

Dan pengakhirannya aku boleh cakap don’t judge a book by its cover.. ini cuma sebuah novel biasa yang kalau kita tengok luaran mungkin fikir macam buang masa baca, mungkin ada yang cakap melalaikan, baik baca buku-buku agama ke, buku ilmiah ke yang boleh menambahkan ilmu. Tapi buku ini dengan jayanya telah membuat aku berfikir, bermuhasabah semula.. Keseluruhan karya-karya Hlovate memang mempunyai nilainya tersendiri. Dakwahnya ringan, mudah diterima, berkesan bagi aku.

Nobody is perfect. There is a room for improvement..

Nota:
1) Sedang belajar membaca buku-buku yang lebih berat
2) Tidak kisah genre apa buku yang kita baca, ambik pengajaran yang ada dalamnya
3) Tulisan seorang budak kecil juga terselit pengajaran kalau kita pandai cari
4) Membacalah dan berfikirlah..

Friday, March 11, 2011

Forum Budaya: Menjelaskan Yang Tidak Jelas

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah…tidak sia-sia menapak ke kolej Tuanku Canselor bersama sahabatku yang sangat bersemangat waja.. Forum Budaya anjuran KTC memang membawa satu penjelasan yang memuaskan hati kepada persoalan-persoalan yang bermain-main di minda mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia tentang penganjuran konsert The Times di UTM.

Persoalan yang berlegar-legar di ruangan maya khususnya tentang siapa yang bertanggungjawab terhadap penganjuran konsert ini? Apa tindakan yang diambil oleh pihak berwajib? Bagaimana tindakan seterusnya? Kesemua persoalan ini di ulas dengan baik oleh ahli panel yang bukan calang-calang orangnya di Bumi UTM ini sendiri.

Ustaz Ismail Musytari, merupakan Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM berkata, mereka telah bertemu mata ke mata dengan penganjur di pihak atasan malahan dengan penganjur di peringkat mahasiswa itu sendiri dan berbincang tentang penganjuran program tersebut. Pusat Islam dengan tegas menyatakan pendidrian mereka supaya membatalkan empat program yang dirasakan tidak relevan dengan Budaya Ilmu di UTM, dan lebih utama tidak selari dengan garis panduan yang ditetapkan dengan Agama Islam.

PM Zahib Deraman, merupakan Pengarah Kebudayaan UTM juga tidak mempersetujui program yang dianjurkan. Beliau mengatakan program yang dianjurkan di luar pengetahuan. Dengan diselangi analogi-analogi, cerita-cerita pengalaman beliau serta cadangan yang menarik berkenaan program tersebut, PM Zahib berjaya menarik perhatian hadirin sepenuhnya.

Ustaz Nasir Masroom, merupakan mantan Pegawai Agama Islam HEMA menerangkan bagaimana proses untuk memberi kelulusan kepada program-program dalam UTM. Mahasiswa sepatutnya merujuk kepada akta kebudayaan university sebelum merancang apa-apa program di peringkat university mahupun di peringkat kolej.

Memetik kata-kata Ustaz Ismail yang boleh menjadi pegangan dan panduan kita dalam penganjuran program dalam UTM:

“Jika kita menganjurkan program yang bermanfaat, pahala orang-orang yang datang akan menjadi saham kepada kita. Begitu juga jika kita menganjurkan program yang membawa maksiat atau kemungkaran, dosa orang-orang yang datang juga akan masuk kepda kita”

Apakah amalan kita sudah cukup banyak untuk menanggung dosa orang lain? Apatah lagi jika kita orang pertama yang menganjurkan sesuatu program yang mendatangkan kemungkaran, lalu ada orang lain ingin menganjurkan program yang sama dengan menggunakan alasan bahawa program ini pernah dijalankan oleh kita, mengapa mereka tidak boleh? Sangupkah kita menjadi pemula kepada kemungkaran yang bakal berlaku dan berlaku lagi?

Oleh yang demikian, kepada penganjur-penganjur program atau bakal-bakal penganjur program, fikir-fikirkanlah. Bagaimana status program kita nanti. Membawa kebaikan atau membawa kemudaratan? Kalau kita tidak yakin atau tidak tahu, rujuklah pada yang tahu. Tanyalah Ustaz. Kerana mereka merupakan orang yang pakar dalam bidang mereka…

Wallahualam..

Nota:
1)Alhamdulillah, ada yang baik hati menghantar pulang
2)Berkenalan dengan seorang sahabat baru semasa forum
3)Majlis ilmu menjelaskan apa yang tak jelas maka datanglah ke majlis ilmu
4)Malam ni ada Diskusi Iman di MSI, jemput datang ramai-ramai

Monday, March 7, 2011

KEMBARA: Haramain Syarifain Part 3

Bismillahirrahmanirrahim…

16 Mei 2010 (Ahad)

Berjalan-jalan disekitar Masjid Nabawi denagn memakai
vase Es-Globe'10

Selepas sahaja solat Subuh, pulang ke hotel untuk sarapan pagi. Program pertama pagi tu melawat sekitar Masjid Nabawi. Masjid ni sangat besar dan sangat cantik malahan sangat ramai orang. Sangat suka melihat seni bina Masjid ni terutamanya payung di bahagian luar. Payung-payung ni akan mengembang pada waktu siang.

Payung baru nak berkembang, sukanya tengok

Payung dah berkembang sepenuhnya

Payung-payung yang memayungi jemaah di bahagian luar

Destinasi seterusnya ke Perkuburan Baqi’. Sangat sedih bila sahaja sampai disini. Muslimat hanya memerhati di luar pagar Perkuburan Baqi’ manakala muslimin berpeluang masuk kedalam. Suasana yang sangat sayu ketika berada di sana. Ramai sahabat yang dikebumikan di Baqi’ antaranya termasuklah Saidina Uthman Al-Affan, Saidina Hassan bin Ali (cucu Rasulullah), Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Saad bin Muaz, Fatimah binti Asad, Abdullah bin Masud, isteri-isteri Nabi saw kecuali Khadijah dan Maimunah, anak-anak Nabi dan ramai lagi.

Tidak mampu untuk menahan sebak ketika menziarahi Makam Rasulullah saw. Macam-macam perasaan ketika berada di sana. Makam Rasulullah saw diapit dengan Makam dua orang sahabat besar Saidinia Abu Bakar As-siddq dan Saidina Umar Al-Khatab. Kalau di perhati dari luar Masjid Nabawi, kelihatan kubah masjid yang bewarna hijau. Di bawah kubah hijau inilah terletaknya makam Nabi saw.

Peserta Es-Globe'10 di hadapan Kubah Hijau Masjid Nabawi
Di bawah Kubah Hijau terletaknya Makam Rasulullah saw

Pagi itu juga ziarah Raudhah. Raudhah ialah salah satu Taman dari Taman-taman Syurga. Raudhah terletak dalam Masjid Nabawi. Apa yang membezakan Raudhah ialah warna karpetnya. Keseluruhan kawasan solat dalam Masjid Nabawi karpetnya bewarna merah dan karpet dalam Raudhah berwarna hijau. Usai Tahiyatul Masjid, aku dan sahabat-sahabat menunggu giliran untuk ke Raudhah. Sempat tunaikan solat sunat di sana. Sangat ramai orang yang bersesak untuk tunaikan solat sunat disana kerana Raudhah merupakan Masjid Nabawi asal yang di bina oleh Rasulullah. Sabda Nabi saw:

"Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah (taman) diantara taman-taman syurga"

(tak sure siapa yang riwayatkan kalau ada siapa yang tahu harap boleh maklumkan)

Petang itu Jejak Anbiya’ 1 bersama Tabung Haji. Menuju ke Jabal Baidho’ atau Bukit Magnet. Sebelum tiba ke sana kami melalui Bukit Uhud, lantas tergambar difikiran mengenai peristiwa Perang Uhud yang pernah ku baca. Agak tinggi Bukit Uhud ni.

Di Jabal Baidho' aka Bukit Magnet

Setibanya di Jabal Baidho’, pemandu bas mematikan enjin bas dan bas bergerak ke atas bukit tanpa dipandu. Kagum seketika aku, maknanya memang tarikan magnet yang sangat kuat berlaku di sana. Kerana dapat menarik bas yang berat ditambah dengan kami semua berada dalam bas tersebut. Disana juga nampak pokok berduri. Ada cerita tentang pokok berduri ni tapi dah terlupa.

Pokok Berduri di Jabal Baidho'

Kepada pembaca-pembaca yang tahu cerita tentang pokok berduri ni bolehlah berkongsi di sini. Semoga ianya bermanfaat kepada semua. Sharing is caring=)

Nota:
1) Cuba mencari gambar di Perkuburan Baqi' tapi tak jumpa. Gambar tu ada..huhu
2) Terlupa apa program malam tu..=(

Akan bersambung insyaAllah..

Friday, March 4, 2011

KEMBARA: Haramain Syarifain Part 2

Bismillahirrahmanirrahim…

Agak lama catatan perjalanan ini terbengkalai dalam laptop. Hari ni aku nak sambung balik sebelum semuanya menjadi sejarah yang kabur-kabur dalam ingatan. Catatan perjalanan penuh bermakna sepanjang aku hidup di muka bumi Allah ini.

Keratan akbar program ES-GLOBE'10

15 Mei 2010 – Sabtu

Sejak malam tadi cuba untuk melelapkan mata namun terlalu sukar sekali. Seawal pagi sudah bangun untuk mempersiapkan diri. Sahabat-sahabat yang lain pun begitu juga. Masing-masing berwajah ceria, tidak sabar untuk memulakan sebuah kembara iman menuju ke tanah penuh barakah. YaAllah, sampaikanlah kaki kami ke sana. Selamat tinggal Masjid Sultan Ismail UTM yang menjadi tempat kami berteduh sepanjang sebulan.

Dihadapan Bangunan Canseleri sebelum bertolak ke KLIA selepas solat Subuh

Pelajar SCV-Graphic and Multimedia Software yang mengikuti rombongan
bersama Ketua Jabatan Dr Shahrizal

Sebahagian peserta di KLIA bersama Dr Ismail, Dr Azhar dan En Hafidz

Tepat 3.35 petang, kami menaiki pesawat MAS MH 150 menuju ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah. Perjalanan mengambil masa sekitar 8 jam dan tiba di Jeddah pada jam 7.00 malam waktu Jeddah. Melalui kaunter imegresen dengan penuh debaran, Kami di kehendaki mengikut mahram masing-masing dan aku berada di bawah jagaan Dr Azhar bersama-sama Ieqa, Zurai, Kak Su dan Kak Rohani.

Salah satu menu dalam kapal terbang semasa dalam perjalanan

Kami orang terakhir yang keluar dari Airport. Alhamdulillah, semua selamat keluar tanpa sebarang masalah. Jejak sahaja kaki di luar airport, wajah pertama aku terpandang ialah PM Daut. Bekas Ketua Jabatan GMM merangkap pensyarah Matematik Komputanku semasa di Tahun Satu. Beliau kini bertugas di Universiti King Abdul Aziz Jeddah bersama dengan PM Sarudin yang juga pensyarahku (ajar Graphic Modeling semasa cuti summer di Arab Saudi) serta Ustaz Taib (yang namanya sering ku dengar).

Setibanya di King Abdul Aziz Airport

Di luar Airport bersama PM Daut (Mantan KJ GMM) dan PM Sarudin
(pensyarah GMM) yang bertugas di Jeddah

Terus menaiki bas menuju ke Madinah. Berhenti sebentar untuk makan malam dan solat. Makanan telah disediakan siap-siap dalam bas yang membawa kami. Perkara pertama yang menarik perhatianku setibanya di sini bila mana tuan punya kedai makan memberi kebenaran kami makan dalam kedai mereka walaupun kami tidak membeli apa-apa. Hanya sekadar duduk untuk makan.

Di kedai makan semasa dalam perjalanan dari Jeddah ke Madinah

Suasana di luar kedai makan

Bersama tuan punya kedai makan yang baik hati dan
penduduk setempat


Lagi suasana di luar kedai makan

Tiba di Hotel Manazeli dan dibagi bilik. Masing-masing kepenatan setelah melalui perjalanan yang sangat panjang. Aku, Fana, Kak Husna dan Izzah satu bilik. Subuhnya sangat awal macam waktu Subuh di Sabah kerana sedang musim panas maka waktu siang lebih panjang daripada malam. Sangat ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjid Nabawi untuk solat Subuh. Satu pandangan yang tak ada di Malaysia. Subhanallah…

Di luar Hotel Manazeli Madinah, tempat bermalam

Akan bersambung insyaAllah..

Nota: Gambar-gambar di ambil dari koleksi terbaik peserta Es-Globe'10

Thursday, March 3, 2011

Lagenda Budak Setan

Bismillahirrahmanirrahim….

Hari ni nak berkongsi lagi. Berkongsi tulisan orang lain. Aku jumpa artikel ini di blog kawan aku di SINI. Kawan aku pula jumpa di SINI. Membaca artikel ini teringat perbualan Kak Ummu dan Ama semasa dalam perjalanan ke KL. Kata mereka nak pergi Syria belajar Bahasa Arab. Kalau mereka baca mesti semangat mereka nak ke Syria bertambah-tambah lagi. Semoga bermanfaat kepada semua….

Sebenarnya entri kali ini tiada kaitan pun dengan filem Lagenda Budak Setan, sebaliknya saya memetik sebuah email yang dihantar oleh rakan tentang kisah saudara Azmil Mustapha. Apabila disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , ‘berkat’ daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan ‘penghijrahan’ daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah.

Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem ‘Puteri Gunung Ledang’; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama.


Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria?

Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria. Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.

Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi’ dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria.

Sejak bila sebenarnya saudara ke sana?

Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana. Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami’ Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria. Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.

Puas hati macam mana?

Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga. Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia “jangan tengok lelaki” bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.

Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku. Duduk satu meja pun tak ada. Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria, dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.

Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia, biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England, Afrika Selatan, Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik.

Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria?

Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar. Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.




Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak. Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.

Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan.

Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.

(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato’ Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A. Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria.

Di sana, anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila “check” ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.



Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam (Syria), bumi para anbiya’.

Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat. Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita. Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.

Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia?

Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya, ” Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam mana nak cari kerja?”

Saya jawab balik, “Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM”. Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.

Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?

Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria. Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara?

Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya. Sekarang kita kongsi raya, kita kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat.

Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini. Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ‘terjajah’. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak.
Kalau kita di Malaysia, kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.

Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.

Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?

Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.

Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.

Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat.
Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..

Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.

Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh.

Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.

Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?

Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama’. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.

Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.

Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.


Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?

Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri. Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?

Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau di luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.

Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan. Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.

Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.

Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?

Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.