Jurutera UMS maut, tiga cedera nahas
PAPAR: Seorang jurutera Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut manakala tiga penumpang, iaitu adik dan dua sepupunya cedera selepas kenderaan jenis Perodua Kenari yang dipandunya terhumban ke dalam gaung di Kilometer 41 Jalan Keningau-Kimanis, di sini malam kelmarin. Mangsa, Nur Khairiah Singka, 27, dari Tawau meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, Nur Syafika, 16, serta sepupunya, Nur Shahirah Aziz, 20, dan Siti Aishah Bakri, 20, cedera ringan. Pemangku Ketua Polis Daerah Papar, Asisten Superintendan (ASP) S Saravanan, berkata dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari Tenom ke Kota Kinabalu.
Katanya, kenderaan terbabit hilang kawalan ketika menaiki bukit sebelum terhumban dalam gaung dan tersangkut pada sebatang pokok. Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Papar mengambil masa enam jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Papar untuk bedah siasat manakala adik dan dua sepupunya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama," katanya.
No comments:
Post a Comment